GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki tanpa sebarang identiti ditemukan terapung di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Padang Kota Lama, di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata mayat lelaki yang berseluar pendek dan berbaju singlet putih itu ditemukan pada pukul 2.05 petang semalam.

“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri bersama lelaki itu dan mayatnya dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan beliau meminta individu yang kehilangan ahli keluarga atau rakan agar segera tampil membuat aduan di balai polis berdekatan.

Beliau berkata pihaknya turut mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan. - Bernama