• 2025-10-21 10:11 PM

MELAKA: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di Sungai Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa dijumpai sekitar 4.45 petang dalam keadaan masih lengkap berpakaian.

“Mangsa memakai gelang tali ketika ditemukan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa berjaya dibawa naik oleh pekerja Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka serta orang awam.

Pegawai perubatan Hospital Melaka kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Bedah siasat telah dijalankan pada pukul 11 malam semalam dan mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

“Mayat mangsa masih ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Melaka,“ kata Christopher.

Proses pengenalan identiti masih menunggu keputusan cap jari untuk mencari waris mangsa. – Bernama