KUALA LUMPUR: Mayat Zara Qairina Mahathir perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu berkenaan, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.
“Jabatan ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah,“ menurut kenyataan itu.
Menurut AGC, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian pelajar berkenaan.
Isnin lepas, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lepas.- BERNAMA