MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melaksanakan sistem tempat letak kereta digital secara menyeluruh dalam kawasan pentadbirannya mulai 1 Jan tahun depan.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata kaedah pembayaran tanpa tunai melalui aplikasi Melaka Smart Parking akan melibatkan 14,000 kotak tempat letak kenderaan.

“Penggunaan sistem digital ini bagi memudahkan orang awam membuat pembayaran dan pengguna boleh menambah masa parkir mengikut kadar yang ditetapkan serta menambah nilai kredit secara dalam talian.

“Bagaimanapun penggunaan kupon bergores yang sedia ada masih boleh digunakan sehingga 31 Dis 2024 di semua kawasan MBMB,“ katanya kepada pemberita selepas program Taklimat Bersama Agen Jualan Kupon Letak Kereta di sini hari ini.

Mengulas lanjut Shadan berkata pihaknya juga akan meletakkan papan tanda bagi memaklumkan penggunaan kaedah baharu itu di semua kawasan terlibat selain menyediakan kod pengimbas QR untuk memudahkan pengguna memuat naik turut aplikasi tersebut.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi Melaka Smart Parking di Google Play Store (Android) atau melalui pautan https://melakasmartparking.mbmb.gov.my/ untuk pengguna Apple (iOS), menggantikan aplikasi lama, SVP Smart.

Baki kredit dalam aplikasi lama akan dipindahkan secara automatik selepas pengguna mendaftar dengan ID yang sama dalam aplikasi baharu.