KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dipercayai didalangi oleh pemilik premis berkenaan dan sindiket dadah.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) hasil maklumat daripada orang ramai selain tinjauan terhadap premis-premis tersebut.

“Senarai ini akan diserahkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam masa terdekat dan saya sudah berhubung dengan beliau (Ayob Khan) berhubung perkara itu,” katanya pada sidang media khas di Sungai Besi dekat sini, hari ini.

Musa berkata nama pemilik premis dan individu yang menjadi orang tengah selain segelintir pegawai atau kakitangan pihak penguat kuasa yang dipercayai melindungi kegiatan itu juga akan diserahkan kepada pihak polis.

Menurutnya pusat hiburan berkenaan kebanyakannya memainkan lagu rancak atau techno yang sesuai untuk pengunjung berseronok dengan mengambil pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, kokain, syabu selain jus buah yang dicampur dadah.

Bekas Ketua Polis Negara itu juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan bagi membanteras kegiatan pelacuran membabitkan warga Vietnam, Thailand dan Uzbekistan di pusat hiburan tersebut.

Beliau mendakwa kegiatan pelacuran berkenaan turut dilindungi pemilik premis yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Dalam pada itu, Musa berkata dakwaan beliau menerima wang bulanan daripada kartel jenayah adalah tidak berasas dan menegaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya juga tidak menemui sebarang salah laku. - Bernama