IPOH: Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menafikan dakwaan pihaknya menangkap dan mencuri haiwan ternakan di dalam kandang pemilik.

Sebaliknya, Yang Dipertua MDKpr Ahmad Suqairy Alias berkata haiwan ternakan itu ditangkap dalam operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan MDKpr pada 23 April lepas di kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman di Bandar Baru Kampar.

“Operasi ini susulan daripada siri aduan dari pengurusan Kolej Tunku Abdul Rahman berkaitan haiwan merayau lembu dan kerbau yang memasuki kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman. Pada hari tersebut sebanyak dua ekor kerbau berjaya ditangkap.

“Majlis Daerah Kampar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan tangkapan dibuat di kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar,” katanya.

Ahmad Suqairy berkata MDKpr melaksanakan tindakan penguatkuasaan haiwan merayau bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk daerah Kampar secara amnya.

Semalam, sekumpulan penternak lembu dan kerbau membuat laporan polis mendakwa haiwan ternakan mereka di dalam kandang di kawasan persendirian disita MDKpr berdasarkan rakaman video yang diperoleh mereka.

Wakil penternak, Mohamad Yusof Yasin, 65, berkata satu laporan polis dibuat Rabu lepas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berhubung insiden pada 23 April di Kampar apabila seorang penternak mendapati dua ekor kerbau mereka hilang.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.