• 2025-10-05 11:46 AM

KUALA LUMPUR: Media sosial sejak semalam dibanjiri ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha keras pemimpin nombor satu negara itu yang membawa kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).

Ucapan terima kasih yang tidak putus-putus juga dizahirkan kepada 23 sukarelawan negara atas komitmen tinggi mereka dalam menangani situasi sukar itu.

Melalui pelbagai platform media sosial, netizen meluahkan rasa penghargaan terhadap usaha berterusan pihak kerajaan yang disifatkan sebagai cekap, prihatin, dan pantas bertindak dalam usaha membantu 23 wira dan wirawati GSF yang ditahan rejim Zionis.

Semua aktivis warga Malaysia telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia.

Seorang netizen Aman Nazman menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan penghargaan kepada Perdana Menteri, pimpinan kerajaan serta wira dan wirawati GSF.

Pendekatan PMX (Anwar) dalam menangani insiden GSF menunjukkan kebijaksanaan tinggi dalam pengurusan konflik antarabangsa.

Melalui hubungan strategik dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Malaysia berjaya memanfaatkan saluran diplomatik Turkiye dan Israel bagi membebaskan aktivis Malaysia dengan cepat.

Tindakan ini membuktikan kepimpinan PMX berwawasan, berpengaruh, dan dihormati di pentas global.

Seorang lagi pengguna Facebook Irfan Mustafa menerusi ruangan komen itu turut mengucapkan tahniah atas kecekapan kerajaan dalam bertindak membantu aktivis yang ditahan.

Alhamdulillah, pantas dan efisien merupakan reaksi terhadap tindakan kerajaan yang berjaya membawa pulang sukarelawan Malaysia.

Inilah pentingnya apabila sesebuah negara dipimpin oleh tokoh yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang diplomasi seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Bai Cam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keberanian dan keprihatinan beliau yang disifatkan tidak pernah luntur dalam membela nasib rakyat Malaysia.

Suara Malaysia dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan sentiasa didengar kerana kepimpinan yang berani.

Pengguna Facebook, Mohd Yazid menerusi komen di hantaran Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur dan mendoakan keselamatan seluruh aktivis GSF.

Alhamdullilah, syukur kepada Allah yang mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh aktivis.

Semoga semua sihat dan selamat kembali kepada keluarga tersayang.

Jutaan terima kasih Perdana Menteri atas usaha berterusan untuk mengkoordinasikan semua saluran diplomatik bagi membawa pulang rakyat Malaysia.

Tidak ketinggalan, netizen turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Erdogan dan pemimpin negara lain yang memainkan peranan penting dalam memudahkan proses pembebasan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean.

Mereka seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel sebelum dibebaskan.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Turut ditahan ialah Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu) serta penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga).

Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil menaiki kapal Alma manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli menaiki kapal Sirius.

Razali Awang menaiki kapal Inana dan pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana menaiki kapal Mikeno.

PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak menaiki kapal Estrella.

Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah menaiki kapal Fair Lady manakala Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif menaiki kapal Free Willy.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Misi ini juga bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terkepung. – Bernama