MELAKA: Melaka merekodkan sebanyak 211 kes dera sejak Januari hingga 31 Okt lepas, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin.

Kalsom (BN-Pengkalan Batu) berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 94 kes berbanding 117 kes pada tempoh sama tahun lalu.

“Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati, faktor kecuaian ibu bapa atau penjaga menjadi faktor utama (kepada kes dera).

“Faktor lain yang menyumbang kepada penderaan ialah perbalahan keluarga akibat daripada masalah kewangan, namun setakat 31 Okt lalu juga tiada kes penderaan melibatkan kematian,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Kalsom menjawab soalan dikemukakan Siti Faizah sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memberi bantuan khairat kematian kepada penerima bantuan JKM di negeri itu.

Menjawab soalan berkenaan, Kalsom berkata kerajaan negeri menerusi JKM menyalurkan bantuan secara sekali beri sebanyak RM200 kepada waris.

Beliau berkata bantuan tersebut disalurkan bergantung kepada kriteria tertentu yang memberi keutamaan kepada rakyat negeri itu.

“Antara kriteria ialah si mati dilahirkan di Melaka dan meninggal dunia di negeri ini, si mati berasal dari Melaka namun meninggal dunia di luar negeri, serta si mati bukan berasal dari Melaka namun telah menetap sekurang-kurangnya 10 tahun dan memerlukan pengesahan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.–Bernama