KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak penghujung 2019, memberi kesan besar bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga ekonomi global susulan sekatan pergerakan dan penutupan sempadan negara di dunia.
Natijahnya, banyak syarikat terpaksa menstrukturkan semula operasi mereka termasuk mengecilkan saiz tenaga kerja masing-masing selain ada yang gulung tikar, mengakibatkan ramai kehilangan sumber pendapatan dan seterusnya menjejaskan sosioekonomi mereka.
Mengulas isu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata COVID-19 memberi impak besar secara langsung kepada kesejahteraan pekerja dan masyarakat secara keseluruhan.
“Pandemik itu telah memperlihatkan betapa pentingnya memiliki sistem perlindungan sosial yang kukuh untuk menyokong pekerja dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi. Di PERKESO, kami komited untuk menjadi benteng yang melindungi pekerja dan keluarga mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata bagi menghadapi krisis yang tidak terduga seperti pandemik, PERKESO tampil sebagai pelindung sosial utama buat golongan pekerja di Malaysia.
“Sebagai contoh, pada 2017, PERKESO telah merangka langkah-langkah ke depan dengan memperkenalkan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), dua tahun sebelum pandemik merebak, bagi menyediakan perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat situasi luar jangka.
“Akta 800 langkah penting bagi memastikan pekerja yang terjejas, terutamanya dalam keadaan luar jangka seperti pandemik, dapat kembali ke pasaran kerja dengan lebih cepat. Program seperti Subsidi Upah ialah bukti bagaimana insurans sosial dapat menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan,“ katanya.
Langkah awal yang diambil oleh PERKESO itu berjaya melindungi lebih 3.1 juta pekerja dan hampir 400,000 majikan melalui Program Subsidi Upah yang memberi sokongan kewangan kepada majikan untuk mengekalkan pekerja mereka, terutamanya ketika negara berdepan dengan kesulitan ekonomi semasa pandemik.
Perlindungan untuk pekerja sektor tidak formal
Namun, walaupun ekonomi Malaysia semakin pulih pascapandemik, krisis sosial dan ekonomi yang berpunca daripada perubahan struktur pekerjaan masih terasa.
Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah pekerja dalam sektor tidak formal telah meningkat kepada 3.45 juta orang pada 2023.
Pekerja dalam sektor seperti p-hailing, e-hailing dan pelbagai platform ekonomi gig ini menghadapi cabaran besar, terutamanya dari segi jaminan sosial dan keselamatan pekerjaan.
Menyedari kepentingan untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan itu, Dr Mohammed Azman berkata PERKESO memperkenalkan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Sektor tidak formal terus berkembang pesat, namun pekerja dalam sektor ini masih terdedah kepada risiko yang besar. Justeru, kami memperkenalkan SKSPS bagi memastikan mereka juga diliputi perlindungan keselamatan sosial yang sepatutnya.
“Selain itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) diperkenalkan sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan golongan wanita dalam sektor ekonomi ihsan, terutamanya suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan tetap namun berdepan dengan risiko pekerjaan yang besar seperti kemalangan dan kecederaan,” katanya.
Pendekatan intervensi awal dan pemulihan pekerjaan
PERKESO turut melaksanakan inisiatif penting dalam menangani risiko kehilangan pekerjaan melalui pendekatan intervensi awal dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja.
Dr Mohammed Azman berkata PERKESO akan mengenal pasti majikan yang berhasrat memberhentikan pekerja atau mengecilkan saiz operasi syarikat mereka, dan seterusnya akan menyediakan taklimat serta program sokongan bagi pekerja yang terlibat.
“Pendekatan intervensi awal sangat penting kerana ia membolehkan kami memberikan sokongan kepada pekerja lebih awal sebelum mereka kehilangan pekerjaan. Ini memberi mereka peluang untuk bersedia dan mencari pekerjaan baharu tanpa tekanan yang besar,“ katanya.
Melalui Akta 800, pekerja yang kehilangan pekerjaan diberi sokongan melalui pengurusan kes dan program latihan semula yang membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan baharu dalam masa enam bulan.
PERKESO juga memberi elaun kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), sementara mereka mencari kerja baharu.
Menurut Dr Mohammed Azman, bagi tempoh 2020 hingga Mei 2023, lebih 36,000 individu telah mengambil bahagian dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui sistem insurans pekerjaan.
“Statistik menunjukkan daripada jumlah itu, lebih 16,000 orang berjaya mendapatkan pekerjaan setelah menjalani latihan tersebut,” katanya.
Penyediaan insentif dan pindaan Akta 800
Seiring dengan perubahan dinamik ekonomi, Dr Mohammed Azman berkata PERKESO juga telah meminda Akta 800, menaikkan had siling gaji bagi tujuan caruman dan pengiraan faedah kepada RM6,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelumnya.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan perlindungan yang disediakan relevan dengan keadaan pasaran pekerjaan semasa, khususnya buat pekerja dalam sektor gig dan tidak formal yang kian berkembang.
“Dengan kenaikan had gaji ini, kami berharap dapat memberikan lebih banyak perlindungan kepada pekerja dalam sektor-sektor yang semakin berkembang seperti ekonomi gig. Kami sentiasa berusaha memastikan perlindungan yang kami tawarkan selaras dengan perkembangan pasaran pekerjaan,“ katanya.
Selain itu, Dr Mohammed Azman berkata program seperti MYFutureJobs memainkan peranan penting dalam membantu pekerja daripada sektor tidak formal beralih ke sektor formal yang lebih stabil.
“Melalui Program Transisi Pekerjaan Informal kepada Formal, PERKESO membantu pekerja gig dan peniaga dalam talian mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin dan dilindungi oleh sistem keselamatan sosial,” katanya.
Memperkasa ekonomi gig dan keusahawanan
Dr Mohammed Azman berkata PERKESO turut mengorak langkah dalam memperkasa ekonomi gig dan keusahawanan melalui program Kerjaya Ekonomi Gig dan Keusahawanan.
Beliau berkata program itu merangkumi latihan kemahiran untuk meningkatkan kemahiran perniagaan serta kerjasama dengan pelbagai platform digital gig bagi membantu pekerja dalam sektor itu memperkasa kemahiran mereka dan menjana pendapatan melalui ekonomi digital.
“Selain itu, PERKESO turut melaksanakan program Bina Kerjaya yang menyediakan latihan kemahiran semula bagi pekerja dalam sektor tidak formal. Sejak program ini dimulakan, lebih 7,900 individu telah menerima latihan dengan peruntukan mencecah RM13.6 juta.
“Ekonomi gig ialah sebahagian daripada masa depan pekerjaan di Malaysia. Melalui program-program seperti ini, kami berharap dapat memberikan pekerja peluang meningkatkan kemahiran mereka dan mengakses peluang pekerjaan yang lebih baik,“ katanya.
Sinergi sosial dan pendekatan rentas agensi
Dr Mohammed Azman berkata satu daripada inisiatif terbaharu yang diperkenalkan oleh PERKESO ialah Program Sinergi Sosial yang melibatkan lebih 350 agensi kerajaan, bukan kerajaan dan swasta.
Menurut beliau, platform itu bertujuan mengintegrasikan pelbagai bantuan sosial di bawah satu sistem yang lebih terselaras dan mudah diakses oleh masyarakat memerlukan.
“Kerjasama dengan lebih 350 agensi ini merupakan contoh komitmen kami dalam memastikan bahawa bantuan dan sokongan dapat disalurkan dengan lebih efisien kepada mereka yang memerlukan. Sistem MySynergy membantu mempercepatkan proses ini,” katanya.
Melalui sistem MySynergy, Dr Mohammed Azman berkata lebih 4,000 penyelaras di seluruh negara telah dilatih mengendalikan program itu yang meliputi bantuan pekerjaan, keusahawanan, pembasmian kemiskinan dan perlindungan insurans sosial.
“Sistem ini juga membolehkan penyaluran bantuan secara lebih pantas dan efisien kepada mereka yang memerlukan, melalui pendekatan “end-to-end strategy” melibatkan kunjungan ke rumah dan penyelesaian masalah secara serta-merta,” katanya.
Ke depan: mengharungi gelombang ‘tsunami emas’
Melihat ke depan, Mohammed Azman berkata ekosistem keselamatan sosial Malaysia perlu terus berkembang agar relevan dengan perubahan demografi dan ekonomi global.
Beliau berkata fenomena ‘Tsunami Emas’ yang merujuk peningkatan populasi warga emas di seluruh dunia termasuk Malaysia, memerlukan penekanan khusus pada kelestarian dana persaraan dan penjagaan kesihatan warga tua.
“Kami harus mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan demografi yang besar. Perlindungan sosial untuk warga emas serta kelestarian dana persaraan akan menjadi fokus utama dalam perancangan kami untuk masa depan.
“Dengan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dan perancangan untuk masa depan, PERKESO terus berperanan sebagai benteng utama dalam menangani krisis sosial dan ekonomi negara, selain memastikan tiada golongan pekerja yang terpinggir akibat dinamik perubahan dunia pekerjaan yang semakin pantas,” katanya - BERNAMA