KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih badminton sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

Kum Yi Fan, 24, didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian Zulkifli Md Ariff, 54, di lebuh raya lingkaran Puchong di sini pada 2.52 pagi, semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, pekerja bank G. Sanjay Rai, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan tidak berdaya mengawal keretanya sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala penunggang motosikal Irfan Jefri Mohamad Jafri,18.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tun Razak dari arah Jalan Yap Kwan Seng menghala ke bulatan Jalan Pahang di sini pada 5.26 pagi, semalam mengikut Seksyen 44 (1A) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Calvin Lim Sin Guan yang mewakili Kum memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh tiada pendapatan tetap dan mempunyai tanggungan keluarga, manakala peguam Sharonjit Kaur mewakili Sanjay turut memohon jaminan rendah atas alasan anak guam mempunyai penyakit asma.

Majistret Fatin Dayana Jalil membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan kes dihadapi Kum dan 11 Okt bagi sebutan kes Sanjay.