Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, gesa penguatkuasaan lebih tegas bagi kes penipuan pakej haji dan umrah untuk kurangkan jenayah.

  • 2025-06-27 02:34 PM

KUALA LUMPUR: Aspek penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan kes penipuan pakej haji dan umrah perlu diperkukuh bagi menangani isu tersebut secara lebih berkesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menekankan bahawa tindakan pendakwaan serta hukuman yang lebih berat dapat menjadi pengajaran kepada pihak terlibat dan mengurangkan kejadian serupa pada masa depan.

“Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai institusi pengurusan haji tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap kes penipuan. Mereka hanya boleh membuat aduan kepada polis, dan pihak pendakwaan akan bertindak selanjutnya,“ jelasnya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Mohd Na’im turut menyatakan bahawa pasukan petugas khas telah ditubuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan TH. Namun, kuasa penguatkuasaan masih terhad di bawah Akta Tabung Haji.

Beliau juga membandingkan pendekatan tegas Kerajaan Arab Saudi dalam mengawal kemasukan jemaah haji tanpa visa sah. “Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah, memaklumkan penguatkuasaan lebih ketat tahun ini termasuk serbuan ke hotel dan rumah penginapan,“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan 47 jemaah warga emas Malaysia menjadi mangsa penipuan ejen haji, termasuk melalui laluan berbahaya ke Makkah. Pada April lalu, Arab Saudi mengenakan hukuman larangan masuk 10 tahun bagi pelanggar peraturan permit haji.