KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat susulan bersama Pegawai Undang-Undang Negeri berhubung pindaan Akta 134 berkaitan isu tanah melibatkan masyarakat Orang Asli dijadualkan pada esok.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang menyatakan mesyuarat ini sebagai persediaan sebelum isu berkenaan dibawa ke mesyuarat peringkat Majlis Tanah Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Sebelum ini, KKDW telah mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli bagi membincangkan pindaan Akta 134 berkenaan.”
“Kami telah mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi-agensi yang berkaitan agar pindaan Akta 134 nanti adalah komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat telah menerima 121,178 permohonan pendaftaran kanak-kanak bagi sesi kemasukan 2026 sehingga 28 Ogos lepas.
Permohonan tersebut merangkumi 106,235 bagi kemasukan ke Tabika KEMAS dan 14,943 permohonan ke Taska KEMAS.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu memaklumkan sebanyak 81,302 permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan diluluskan sehingga 3 Jun lepas terdiri dalam julat umur 40 tahun ke bawah.
“Kerajaan telah menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada dan lelongan.”
“Dana SJKP itu juga telah ditambah sebanyak 10 bilion pada 2025, menjadikan jumlah peruntukan dana SJKP sehingga kini 30 bilion,” katanya.
Inisiatif itu juga meliputi jaminan pembiayaan kepada golongan ekonomi gig yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji.
Sebanyak 1,171 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melibatkan 139,848 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar 113.55 bilion menerusi penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai setakat hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan Sabah dan Sarawak akan dimajukan sebagai hab utama akuakultur negara.
Pelaksanaan 37 projek bernilai 227.9 juta di bawah pelaksanaan RMK13 akan meningkatkan pengeluaran rantaian bekalan makanan negara.
“Di Sabah, antara projek utama termasuk cadangan pembangunan pelabuhan moden iPOD Fisheries, pusat inovasi rumpai laut di Semporna dan tempat penetasan bernilai tinggi di Tuaran, Sandakan dan Tawau.”
“Pendekatan ini akan mengangkat Sabah sebagai hab eksport hasil laut bernilai tinggi dan Sarawak sebagai pengeluar utama akuakultur negara,” katanya.
Menyentuh pengeluaran padi, kerajaan memperkenalkan projek rintis penanaman lima musim dalam dua tahun yang kini dilaksanakan di kawasan jelapang seperti Kangar, Jitra, Pendang dan Kuala Muda.
Keberhasilan projek ini mendorong Perdana Menteri mengumumkan hampir satu bilion menerusi Belanjawan 2025, termasuk 526 juta untuk menaik taraf 15 blok pengairan dan 234 juta bagi pemulihan Empangan Pedu.
Tiga varieti padi baharu iaitu MRCL3, MRCL4 dan MR333 (Menora) yang diperkenalkan baru-baru ini mampu menghasilkan sehingga sembilan tan metrik sehektar dengan tempoh matang lebih singkat. – Bernama