PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan melakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangai kontrak baharu dengan Ocean Infinity, untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH730 yang hilang 10 tahun lalu.

Menterinya Anthony Loke berkata kementeriannya itu, akan mengambil tindakan berhubung perkara itu secepat mungkin.

“Saya gembira kerana terdapat sedikit kemajuan dalam beberapa penyelidikan dan teknologi baharu yang telah dibentangkan (kepada kami), dan kami amat berharap pencarian itu akan dapat menemui pesawat itu, serta memberikan perkara sebenar kepada waris terdekat.

“Sekali lagi, kami bersama-sama anda (keluarga mangsa tragedi MH370). Kami akan terus menyokong dan berdiri dalam solidariti dengan semua waris,” katanya semasa berucap pada program MH370: 10 Years Gone yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Loke berkata dia juga telah mengarahkan kementeriannya untuk menjemput Ocean Infinity ke Malaysia, dan memberikan taklimat kepadanya tentang cadangan no cure, no fee, mereka.

“Kami kini sedang menunggu mereka untuk memberikan tarikh yang sesuai dan saya berharap dapat bertemu dengan mereka tidak lama lagi. Kerajaan Malaysia tetap dengan azam dalam pencarian MH370.

“Saya berharap keluarga dan rakan mangsa terus tabah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berada dalam doa kami. Lebih penting lagi, kami akan menyokong anda,” katanya.

Jumaat ini (8 Mac) genap satu dekad sejak tragedi pesawat itu yang hilang tanpa jejak, menyebabkan banyak persoalan tidak terjawab dan ahli keluarga penumpang berada dalam ketidakpastian.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi, namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan. - Bernama