KOTA BHARU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon pertimbangan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kelantan supaya mengambil tindakan segera terhadap sebuah koperasi yang menawarkan pelbagai program pelaburan, disyaki tidak wujud yang menyebabkan 26 individu mengalami kerugian lebih RM2.27 juta.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata permohonan itu dibuat kerana kerugian yang dialami oleh mangsa terdiri daripada warga emas, pesara dan kakitangan kerajaan yang kini terpaksa menanggung penderitaan akibat kehilangan wang simpanan dan sebagainya.
“Mangsa-mangsa hari ini hadir ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi memohon pertimbangan dan budi bicara Yang Arif Pengarah Pendakwaan Negeri agar tindakan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hishamuddin berkata pihak koperasi terbabit disyaki memberi pinjaman wang tanpa cagaran kepada beberapa syarikat yang ditugaskan untuk menganjurkan program yang dikawal selia oleh mereka.
Beliau berkata mangsa juga ingin memaklumkan bahawa mereka mengesyaki syarikat-syarikat yang kononnya menguruskan program pelaburan itu adalah syarikat yang ditubuhkan untuk mengaburi mata ahli koperasi, sedangkan program pelaburan itu tidak sepenuhnya dilaksanakan.
“Mangsa juga mengesyaki 10 jenis program pelaburan yang dianjurkan oleh syarikat yang dilantik oleh koperasi itu sendiri adalah satu skim penipuan pelaburan yang terancang melibatkan pelbagai individu yang berselindung di sebalik nama ‘koperasi’ dan syarikat sendirian berhad.
“MHO membawa harapan besar daripada mangsa agar aduan yang dikemukakan kepada pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya ini mendapat maklum balas yang positif,” katanya.