SHAH ALAM: Juara sebuah rancangan realiti nyanyian Abdullah Umar Joseph atau dikenali Cliff Umar, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri pada Mei.

Majistret Sasha Diana Sabtu menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu, menjalani tambahan penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Cliff Umar, 42, juga dikenakan tempoh pengawasan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylymorphine seberat 0.9 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya kira-kira jam 3.30 petang pada 26 Mei.

Pendakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Dia juga dituduh dengan sengaja memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (thc) di tandas Balai Polis USJ8, Subang Jaya, dekat sini kira-kira jam 6 petang pada tarikh sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan perlu menjalani pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum, susulan anak guamnya menanggung isteri dan empat orang anak.

“Anak guam saya juga mempunyai masalah kewangan dan tiada pendapatan tetap dengan hanya bergantung kepada kerjayanya sebagai pemuzik,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon hukuman berbentuk pencegahan ekoran kekerapan kes dan melibatkan kepentingan awam.