• 2025-09-26 07:47 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan bantuan barangan persekolahan kepada 662 pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu sempena program Jelajah Wira MADANI Negeri Sabah.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan Mohamed Khaled yang mengadakan lawatan kerja ke pangkalan itu turut menyerahkan replika cek bernilai 25,000 ringgit kepada guru besar sekolah berkenaan Mohammad Rozalli Rambangan.

Mohamed Khaled turut menyampaikan Bantuan Kecemasan Bencana ATM kepada 15 anggota yang terkesan akibat banjir di Sabah baru-baru ini.

Beliau turut menyaksikan penyerahan replika cek Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM berjumlah 400,000 ringgit yang disumbangkan oleh 11 syarikat iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sembilan syarikat kumpulan LTAT dan Trans Resources Corporation Sdn Bhd.

Mohamed Khaled turut melawat tapak projek Hidroponik Pintar Sifar Karbon di bawah Program Ekonomi MADANI melalui program pemindahan ilmu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) membabitkan kos pelaksanaan 60,000 ringgit.

Projek itu dijangka dapat dituai dalam tempoh enam bulan dengan penglibatan 10 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) TLDM.

MINDEF memaklumkan Mohamed Khaled turut meninjau kesiagaan Markas Angkatan Kapal Selam termasuk melawat hangar, jeti synchrolift, bengkel dan jeti operasi markas berkenaan. – Bernama