MEDAN: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima gelaran Doktor Kehormat (Doktor Honoris Causa) daripada Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) hari ini.
Rektor UMSU Prof Dr Agussani menyampaikan anugerah akademik tersebut sempena Sesi Penganugerahan Gelar Doktor Kehormatan dan Penghargaan daripada Pimpinan Pusat Muhammadiyah.
Baginda turut dianugerahkan Bintang Tertinggi Muhammadiyah (Mitra Lestari Muhammadiyah Internasional) oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah Prof Dr H Haedar Nashir.
Kedua-dua pengiktirafan itu merupakan penghargaan atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, dakwah, kemasyarakatan serta hubungan persaudaraan antarabangsa.
Tuanku Syed Faizuddin menyifatkan penganugerahan itu sebagai hasil usaha bersama pelbagai institusi di Perlis dan bukan sekadar pengiktirafan peribadi.
“Pengiktirafan ini turut merangkumi peranan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Tuanku Fauziah, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dan lain-lain dalam mengangkat agenda pendidikan serta pembangunan insan,” titah baginda.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat menghadiri majlis berkenaan.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi FCoEE Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin turut hadir sama.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada UMSU atas pencapaian sebagai universiti Islam terbaik dunia menurut 4ICU UniRank 2025.
Tuanku Syed Faizuddin menekankan pendidikan sebagai kunci ketamadunan dan asas melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia.
Majlis penganugerahan itu merupakan sebahagian daripada agenda Ekspedisi Ilmu FCoEE–MAIPs yang berlangsung selama tiga hari. – Bernama