KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan terus memperkukuh ekosistem reka bentuk negara menerusi tiga keutamaan penting.
Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keutamaan itu adalah menggalakkan kerjasama dalam kalangan pereka bentuk, pengilang dan ahli akademik.
Beliau menekankan keutamaan kedua adalah mengukuhkan piawaian reka bentuk dan rangka kerja pensijilan.
Keutamaan ketiga pula adalah mengintegrasikan idea reka bentuk dalam bidang keusahawanan.
“Aspirasi kami jelas iaitu untuk menjadikan reka bentuk sebagai satu kelebihan daya saing negara dan membangunkan ekonomi kreatif sebagai antara tunjang utama transformasi perindustrian Malaysia,” katanya pada majlis Malaysia Good Design Award dan Certified Industrial Designer Award 2025.
Tengku Zafrul mendedahkan sektor kreatif digital Malaysia telah menjana perolehan sebanyak RM5.3 bilion pada tahun 2023.
Nilai eksport sektor tersebut mencecah hampir RM800 juta sambil mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata ekonomi kreatif secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
“Apabila angka ini meningkat, mesejnya jelas -- reka bentuk bukanlah kemewahan, ia adalah pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia,“ katanya.
Tengku Zafrul menegaskan reka bentuk akan terus berperanan penting dalam memacu produktiviti dan menyokong inisiatif alam sekitar.
Reka bentuk juga akan menyokong inisiatif sosial dan tadbir urus serta membantu perusahaan kecil dan sederhana bersaing di peringkat global.
Peranan ini dilaksanakan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau turut memperkenalkan Sidang Kemuncak Rekabentuk Kuala Lumpur 2026 yang akan menjadi penanda aras penting.
Sidang kemuncak ini mencerminkan visi teguh Majlis Rekabentuk Malaysia untuk mengangkat Malaysia sebagai hab serantau bagi reka bentuk dan inovasi. – Bernama