PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar menafikan penglibatan dalam mengajak masyarakat menyertai mana-mana kumpulan di media sosial.

Perkara itu dimaklumkan oleh setiausaha politiknya Dr Muhamad Razak Idris dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mendapati gambar serta profil dan kedudukan Mohd Na’im telah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sehubungan dengan itu, pejabat ini menafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlibat dalam urusan mengajak atau mempromosikan untuk menyertai mana-mana kumpulan di media sosial terutamanya di aplikasi Whatsapp, Telegram mahupun Facebook,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis dan melaporkan hal itu kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya.

Justeru, semua pihak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima pelawaan tertentu menggunakan profil serta maklumat peribadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terutamanya menerusi media sosial.