KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyerahkan siasatan kemalangan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai, Gelang Patah kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Menteri Chang Lih Kang menegaskan bahawa kementeriannya tidak terlibat dalam proses siasatan walaupun kejadian berlaku semasa Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025.
“Kita sudah serah kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Ia bukan di bawah bidang kuasa MOSTI. Kejadian berlaku semasa raptai program MOSTI, tetapi dari segi siasatan - kita tidak terlibat,“ kata Chang ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI).
Kemalangan helikopter PDRM itu berlaku pada 10 Julai berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar jam 10.15 pagi. Ketika itu, MITSATOM 2025 sedang berlangsung dengan penyertaan Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura.
MITSATOM 2025 dianjurkan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, di mana Atom Malaysia berperanan sebagai Pengerusi Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM). - Bernama