• 2025-07-03 05:47 PM

SHAH ALAM: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melancarkan operasi bersepadu menggempur tiga premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di Sungai Buloh dan Sungai Sembilang, Jeram.

Operasi itu melibatkan kedai barangan lusuh, pusat cuci kenderaan, dan restoran.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata operasi tersebut dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain tiga premis utama, sebuah kilang sisa elektronik (e-waste) turut dikesan melanggar syarat lesen dan diarah tutup serta-merta.

“Hasil risikan dan maklumat awam mendapati kesemua premis berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak lima bulan lepas.

Secara keseluruhan, empat notis penutupan premis dan enam kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 2007,“ katanya.

Mohamad Lutfi menambah, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS juga mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(1) dan 79(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan struktur binaan tanpa kebenaran.

Dua kompaun turut dikeluarkan bagi kesalahan membuang sisa di kawasan premis.

SSM pula mengeluarkan empat kompaun ke atas premis yang gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Sementara itu, JIM menahan 14 warga asing untuk semakan lanjut dan merampas peralatan perniagaan yang dijalankan tanpa lesen.

Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan undang-undang perniagaan dan keselamatan awam. – Bernama