KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Cadangan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mahasiswa dan komitmen untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif.

“MPPK menekankan perlunya menilai semula kadar pinjaman PTPTN selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa yang mempengaruhi kehidupan mahasiswa.

“Penambahbaikan kadar pinjaman dijangka membantu pelajar menjalani kehidupan kampus dengan lebih sejahtera dan memberi mereka ruang untuk fokus sepenuhnya pada pengajian tanpa bebanan kewangan yang berlebihan,” menurut MPPK dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, MPPK juga memberi sokongan penuh terhadap cadangan kajian semula terma pembayaran balik PTPTN dan berharap pengenalan terma pembayaran yang lebih fleksibel serta progresif dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar selain meningkatkan kadar pembayaran balik secara berperingkat.

“MPPK memuji usaha PTPTN dalam membuka ruang perbincangan dan menyediakan pelbagai saluran pembayaran yang tidak membebankan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPPK menyeru pelajar yang menghadapi kesulitan kewangan untuk menghubungi MPPK atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi masing-masing dan pihaknya bersedia menjadi penghubung antara pelajar, universiti, serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).