• 2025-08-12 11:26 AM

KUALA LUMPUR: Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) Edisi Kedua (2024) yang telah diperbaharui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan MQF 2.0 merupakan kerangka bersepadu merangkumi sektor akademik hingga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau menekankan kerangka ini menitikberatkan hasil pembelajaran, sistem kredit yang jelas, serta integrasi nilai kelestarian dan kompetensi negara.

“Ini adalah pencapaian membanggakan dalam usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.

Zambry mengucapkan tahniah kepada MQA dan seluruh ekosistem yang terlibat dalam pencapaian ini.

Majlis Anugerah MQA 2025 turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Universiti Tenaga Nasional dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Jaminan Kualiti.

Anugerah ini meliputi semua sektor pendidikan tinggi termasuk universiti awam, swasta, politeknik, dan kolej komuniti.

Pelaksanaan MQF 2.0 selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035. - Bernama