ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ucapan takziah itu juga turut disampaikan kepada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kemalangan ngeri itu termasuk pemandu serta penumpang kereta Perodua Alza yang berasal dari Kedah.
“Saya ucapkan takziah kepada semua yang terlibat, semua keluarga pastinya sedih atas kehilangan nyawa dan mereka yang mengalami kecederaan pula masih dirawat di hospital...semoga mereka segera pulih dan dapat teruskan pengajian di UPSI dan pihak keluarga tabah menghadapi ujian dalam kehidupan ini.
“Takziah juga buat keluarga Ustaz Lutfi (Mohd Lutfi Radzi) yang merupakan pemandu Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu juga dan difahamkan isteri dan anak-anaknya masih dirawat di hospital...kita telah hantar wakil untuk ziarah mereka dan kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza sehingga menyebabkan 15 pelajar UPSI maut.
Pemandu Perodua Alza, Mohd Lutfi Radzi, 37, isterinya Nurul Ain Zakaria, 36, serta dua anaknya Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, dan Muhammad Ahsan Nafis, 2, turut tercedera dalam kemalangan ngeri itu.