PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau mengetahui mengenai gaya hidup Jho Low yang bermegah-megah dan mendapat publisiti namun tidak pernah mengesahkan dakwaan ahli perniagaan dalam buruan itu bahawa pembelian hartanah bernilai jutaan ringgit dan karya seni olehnya adalah bagi pihak Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, iaitu adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi.
Memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraannya terhadap dakwaan menyeleweng RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas perdana menteri tersebut mengakui menyedari reputasi Jho Low ketika itu berikutan berita mengenai perbelanjaan borosnya untuk hartanah dan lukisan tersebar.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam merujuk Najib kepada artikel terbitan sebuah portal dalam talian yang melaporkan bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho menginginkan hartanah termasuk kondominium, penthouse dan rumah agam di Amerika Syarikat, Singapura dan Perancis serta karya seni oleh Andy Warhol and Claude Monet.
Semasa pemeriksaan balas oleh Mohamad Mustaffa, Najib berkata beliau tidak selesa dengan gaya hidup Jho Low dan bersemuka dengannya berhubung perkara itu.
“Saya bersemuka dengannya (Jho Low) mengenai hal ini dan dia berkali-kali ulang dia buat itu untuk Sheikh Mansour. Saya tidak selesa dengan gaya hidupnya yang bermegah-megah.
“Ini penjelasannya kepada saya dan dia ulang kepada saya beberapa kali bahawa pembelian itu untuk Sheikh Mansour,“ kata Najib.
Mohamad Mustaffa mencadangkan bahawa Najib, yang ketika itu perdana menteri dan di puncak kuasa, boleh menyiasat kebenaran dakwaan Jho Low berhubung Sheikh Mansour.
Najib berkata menyiasat dakwaan itu bermakna melibatkan kerajaan negara lain memandangkan Sheikh Mansour merupakan adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi ketika itu.
Mohamad Mustaffa: Anda boleh menyiasat tetapi memilih untuk tidak melakukannya. Anda menutup sebelah mata dan tidak mahu mengetahui perkara yang sudah nyata.
Najib: Saya tidak bersetuju. Saya tidak selesa dengan laporan akhbar (mengenai Jho Low) sebab itu saya bersemuka dengannya.
Mohamad Mustaffa: Saya mencadangkan kepada anda, anda tidak mahu menyiasat dia (Jho Low) kerana dia bekerja atas arahan anda.
Najib: Tidak, tidak, tidak, saya hanya menggunakan Jho Low kerana hubungan antarabangsanya dengan pemerintah Arab Saudi. Saya tidak mahu orang ramai berfikir saya terikat kepadanya, saya hanya mahu menggunakan hubungannya.
Najib berkata beliau pertama kali bertemu Jho Low pada 2007 ketika beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dan anak tirinya, Riza Aziz adalah kawan baik kepada abang Jho Low ketika mereka penuntut di London School of Economics.
Najib bersetuju kepada cadangan bahawa Jho Low sering kelihatan di kediaman beliau, menjelaskan bahawa ini kerana hubungan rapat Jho Low dengan Riza.
Terdahulu, suatu rakaman suara Najib dengan seorang lelaki dipercayai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak dimainkan di mahkamah.
Berdasarkan rakaman itu, Mohamad Mustaffa menyoal Najib sama ada benar beliau mengarahkan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin bertemu Khaldoon di Abu Dhabi bagi menyelesaikan isu mengenai Riza dan menangguhkan proses timbang tara antara 1MDB dan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
Untuk soalan itu, Najib menafikan sangkaan tersebut dan menjawab ia adalah isu berasingan dan tidak boleh digabungkan.
Najib turut menafikan bahawa beliau menerima sebarang pesanan teks daripada bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengenai isu itu yang semakin melarat dalam dana kekayaan negara, secara khusus menzahirkan kebimbangan mengenai kerjasama 1MDB dengan Petrosaudi.
Dalam perbicaraan sama, Mohd Bakke terdahulu memberi keterangan beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi 1MDB sebagai tanda protes susulan syak wasangkanya bahawa terdapat ‘sesuatu yang tidak kena’ sedang berlaku dalam syarikat itu.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib menghadapi 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.