KUALA LUMPUR: Pengurusan syarikat pengangkutan awam dan pemandu sebagai pekerja perlu melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bukan sahaja untuk memastikan keselamatan pekerja, tetapi juga penumpang.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata pengurusan keselamatan dalam pengangkutan awam yang berfungsi sebagai entiti perniagaan juga tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), yang mengkategorikan pengangkutan sebagai tempat kerja.

NIOSH turut bersedia menawarkan khidmat kepakaran melalui latihan, audit keselamatan kenderaan pengangkutan, penilaian risiko serta program kesedaran KKP kepada pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.

“Usaha ini juga selari dengan aspirasi Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat kepada seluruh rakyat Malaysia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam KKP, NIOSH menyatakan keprihatinannya terhadap keselamatan orang awam yang menggunakan pengangkutan awam darat, termasuk bas ekspres dan bas sewa khas bagi tujuan perjalanan pelajar.

NIOSH dalam kenyataan sama turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas sewa khas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak awal pagi tadi.

“NIOSH mendoakan agar semua mangsa yang cedera segera sembuh serta keluarga yang kehilangan insan tersayang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik sukar ini,” menurut kenyataan itu.