KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui sedang berusaha mengatasi rasa gemuruh yang sedikit mengganggu persediaannya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Atlet berusia 20 tahun yang akan membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik itu berkata rasa gemuruh itu dipengaruhi oleh kebimbangan beliau terhadap persembahannya di Paris nanti.

Pelumba kelahiran yang akan bersaing dalam acara pecut dan keirin secara peribadi menyasarkan untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 20 pelumba terbaik di Paris, justeru, beliau perlu bekerja keras dalam baki kira-kira dua bulan menjelang temasya berprestij dunia itu.

“Tekanan saya tidak begitu banyak, saya tak macam Datuk Azizulhasni (Mohd Azizulhasni Awang) (tapi) saya tak nak jauh sangat berada daripada pelumba lain di Olimpik. (Jadi) Saya memang nak tambah baik dari segi otot, taktik, kayuhan...berani dan tidak kelam-kabut, itu sasaran utama saya.

“Sebenarnya saya masih belajar untuk kawal semua ini sebab perkara ini boleh kacau tidur saya. Saya asyik fikirkan tentangnya. Sepatutnya sebelah malam, saya relaks dan lupakan seketika, bukan lupa terus...maksudnya fokus pada persediaan kejohanan tanpa terlalu gementar,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Izzah yang ditemui pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional di Nilai semalam, berkata aspek kesihatan menjadi keutamaan ketika ini dengan beliau sering berkomunikasi dengan pegawai Institut Sukan Negara (ISN) perihal tahap kesihatannya.

Pada kejohanan kebangsaan itu, Nurul Izzah yang mewakili Kedah meraih empat pingat emas masing-masing dalam acara keirin dan pecut individu, pecut berpasukan dan 500 meter (m) ujian masa wanita elit sekali gus dilihat berada pada landasan tepat untuk menampilkan aksi terbaik di Paris.

Nama Nurul Izzah menjadi sebutan apabila potensinya di pentas antarabangsa mula menyerlah selepas memenangi pingat emas acara 500 meter (m) ujian masa wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2022 di New Delhi, India.

Ia disusuli dengan kejayaan memenangi dua emas masing-masing acara keirin dan 500m ujian masa wanita pada ACC 2024 di New Delhi Februari lepas, iaitu menyamai pencapaian bekas pelumba wanita kebangsaan Fatehah Mustapa yang meraih emas acara keirin wanita pada edisi 2012.

Berasal dari Sungai Petani, kerjaya Nurul Izzah selaku pelumba kebangsaan mendaki ke satu tahap lagi apabila diumumkan secara rasmi layak ke Olimpik Paris.