Your Title

KUALA LUMPUR: Tiga selebriti yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didapati tidak terlibat menguruskan sebarang kegiatan milik syarikat perunding kewangan yang terbabit dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata siasatan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) mendapati mereka hanya menerima bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan termasuk peranan sebagai duta syarikat terbabit.

Beliau berkata kesemua selebriti itu dipanggil untuk menjadi saksi bagi membantu siasatan Op Sky.

Pada 6 Feb lepas, SPRM merakam keterangan tiga selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan berkenaan selepas disyaki menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

Dalam operasi Op Sky Januari lepas, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Setakat ini, 39 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.