KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal esok bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tiga individu terbabit dijangka hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 10 pagi.
“Ketiga-tiganya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung Op Sky.
“Ini tidak bermakna mereka dianggap sebagai suspek. Keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.
Sebanyak 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen manakala 98 akaun bank telah dibekukan dengan nilai lebih RM17 juta.
Sementara itu, Azam berkata masih terlalu awal untuk pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Beliau berkata pihaknya mendapat kerjsama baik daripada DBKL yang akan berkongsi dokumen berkaitan penganugerahan projek bernilai RM4 juta itu.
“Saya sudah berbincang dengan Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif semalam (4 Feb) dan beliau bersetuju untuk berkongsi dokumen mengenai isu ini dengan kami.
“Penyiasat saya akan menganalisis dokumen-dokumen berkenaan untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesalahan yang mewajarkan kami membuka kertas siasatan,“ katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam isu terbabit kerana ia membabitkan dakwaan yang dibuat melalui media sosial.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular menerusi media sosial sejak minggu lepas melibatkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.