MAKKAH: Setelah 53 hari membuat liputan berita tanpa henti, operasi media Tabung Haji (TH) sempena musim haji 1446H/2025M yang melibatkan 14 pengamal media secara rasminya melabuhkan tirai hari ini.
Petugas media TH bukan sahaja melaksanakan tugasan liputan di Tanah Suci Makkah dan Madinah, malah turut diberikan peluang menunaikan ibadah haji, menjadikan misi itu sebagai tugasan teragung yang sarat dengan amanah, tanggungjawab, dan penghayatan rohani.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi pasukan media yang disifatkan sebagai tulang belakang komunikasi terpenting sepanjang musim haji kali ini.
“Saya dapati liputan yang dijalankan oleh petugas media amat baik dan berkesan, dengan menerima sambutan luar biasa terutamanya di platform media sosial.
“Ia telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti secara dekat suasana serta perkembangan ahli keluarga mereka di Tanah Suci Makkah sepanjang menunaikan ibadah haji,” katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Eksekutif Editor Astro Awani Zaiful Ariffin menyifatkan peluang membuat liputan haji itu sebagai satu amanah besar buat dirinya dan rakan-rakan media lain dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, menyeluruh dan menyentuh hati rakyat Malaysia.
“Semoga kita semua (petugas TH) mendapat haji mabrur dan pada masa sama kita sebagai pengamal media telah dapat menyampaikan informasi tentang jemaah haji yang berada di Tanah Suci,” katanya.
Kesemua petugas media TH berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 7.45 pagi waktu tempatan hari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.15 malam hari sama waktu Malaysia.