BATU GAJAH: Sebanyak 40 hingga 50 pokok ketum dan empat pondok yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum telah dimusnahkan dalam operasi bersepadu di dua lokasi berasingan di sini semalam.
Operasi ini melibatkan kawasan di Batu 1 Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah dan Kampung Nalla, Tronoh.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad berkata operasi bermula dari jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Pejabat Tanah Galian Ipoh.
“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) bagi tanaman pokok ketum. Tujuannya adalah untuk memusnahkan pokok dan pondok yang terletak di tanah kerajaan yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 35 pegawai dan anggota IPD Batu Gajah terlibat dalam operasi tersebut, dibantu oleh 30 petugas dari Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Pejabat Tanah dan Galian Ipoh. Lori dan mesin jengkaut turut digunakan bagi memudahkan kerja pemusnahan.
Polis turut menggesa orang ramai agar terus memberikan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan ketum dengan menghubungi IPD Batu Gajah melalui talian 05-3629 2222 atau balai polis berhampiran. - Bernama