• 2025-07-17 01:29 PM

MUAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dipercayai hilang selepas keretanya terjunam ke Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, diteruskan untuk hari ketiga hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata operasi melibatkan kira-kira 60 pegawai polis dan bomba, dengan penggunaan bot serta dron untuk pemantauan udara.

“Setakat 10 pagi ini, tiada petunjuk baharu ditemui. Kami akan teruskan usaha dan maklumkan perkembangan terkini,“ katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan siasatan masih berjalan dan kes ini dikategorikan sebagai orang hilang.

Pada Selasa lalu, Bernama melaporkan Tengku Nizaruddin, atau Ija, dipercayai hilang selepas kereta Perodua Axia dipandunya terjunam ke sungai tersebut, tetapi mangsa tidak ditemui dalam kenderaan - BERNAMA