GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan pengurangan 50 peratus bayaran tunggakan denda lewat kepada semua pemilik tanah dan petak di Pulau Pinang, berkuat kuasa 2 Jan hingga 31 Mei ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 Dis lepas bersetuju menawarkan diskaun berkenaan sebagai inisiatif bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan petak untuk membayar cukai.
“Tawaran diberikan secara automatik kepada semua pembayar cukai tanah serta petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat di kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah dan juga secara dalam talian melalui portal PgLAND secara sekali gus (lump sum).
“Ia juga terpakai kepada pembayar cukai yang menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak), tetapi tidak terpakai kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran,” katanya dalam kenyataan hari ini
Chow menjelaskan tawaran itu bukan berbentuk retrospektif dan tidak terpakai kepada orang awam yang telah membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengurangan ini dikuatkuasakan.
Katanya kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif sewajarnya bagi menggalakkan pemilik tanah di Pulau Pinang membayar cukai tanah dan cukai petak sebagaimana digariskan di bawah Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Unit Hasil, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang atau Pejabat Daerah dan Tanah di kawasan masing-masing. - Bernama