BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai pada Rabu bagi memberi laluan kepada reformasi parti menjelang pilihan raya umum tahun depan.
Paetongtarn yang berusia 39 tahun berkata keputusannya untuk berundur adalah selaras dengan pengumumannya pada 7 Oktober lalu untuk membawa visi baharu dan perubahan sebenar kepada rakyat.
Beliau menyatakan keputusan meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai itu dibuat dengan niat memulakan reformasi parti secara menyeluruh.
Paetongtarn menegaskan bahawa sebagai satu daripada parti politik utama negara, Pheu Thai perlu melalui transformasi besar termasuk merombak struktur, proses dan cara berfikir.
Beliau berkata Thailand sedang memasuki fasa peralihan yang amat kritikal dengan masyarakat global yang semakin rapuh, kompleks, sensitif dan sukar dijangka.
Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, beliau yakin pembaharuan Parti Pheu Thai mesti dimulakan tanpa berlengah.
Oleh itu, beliau memilih untuk berundur sebagai ketua parti bagi memberi kebebasan kepada parti untuk melakukan pembaharuan dan membina Pheu Thai yang lebih kukuh serta lengkap.
Paetongtarn mengesahkan beliau akan kekal sebagai ahli Parti Pheu Thai dan terus berkhidmat untuk parti serta rakyat Thailand.
Parti itu setakat ini belum mengumumkan pengganti beliau sebagai ketua parti.
Paetongtarn merupakan anak perempuan bongsu kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan anak saudara kepada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Beliau dilantik sebagai ketua Parti Pheu Thai pada tahun 2023.
Pada April 2023, beliau secara rasmi dinamakan sebagai seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai bagi pilihan raya umum, bersama Srettha Thavisin dan Chaikasem Nitisiri.
Selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Srettha Thavisin daripada jawatan perdana menteri pada 14 Ogos 2024, Parti Pheu Thai mencalonkan Paetongtarn untuk menggantikannya.
Beliau memperoleh majoriti undi di Parlimen pada 16 Ogos 2024 dan secara rasmi mengangkat sumpah dua hari kemudian.
Peristiwa itu menjadikannya Perdana Menteri ke-31 Thailand dan yang termuda dalam sejarah negara itu.
Namun, pada 29 Ogos tahun ini, jawatannya sebagai perdana menteri dilucutkan oleh Mahkamah Perlembagaan.
Tindakan itu diambil selepas beliau didapati bersalah melanggar etika berikutan kebocoran perbualan telefon dengan pemimpin Kemboja Hun Sen. – Bernama