GENEVA: Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar laluan selamat diberikan kepada kapal Freedom Flotilla Coalition yang berlepas dari Itali pada Ahad (1 Jun), membawa bekalan perubatan penting, makanan dan barangan kanak-kanak untuk dihantar ke Gaza, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, para pakar termasuk Pelapor Khas PBB mengenai Hak Terhadap Makanan Michael Fakhri dan Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, menegaskan keperluan mendesak bantuan kemanusiaan di Gaza.
Mereka menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan individu yang berada di atas kapal Freedom Flotilla susulan serangan berulang oleh Israel terhadap pembela hak asasi manusia serta misi kemanusiaan PBB dan awam. Mereka turut mengingatkan insiden serangan dron ke atas kapal serupa yang dilancarkan pakatan itu pada awal Mei lalu berhampiran perairan Malta.
Kenyataan itu menekankan bahawa ketika flotila menghampiri perairan wilayah Palestin di pesisir Gaza, Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Para pakar itu menarik perhatian bahawa ICJ telah mengeluarkan langkah sementara pada Mac 2024 yang mengiktiraf wujudnya kebuluran dan kelaparan meluas di Gaza.
Mereka turut mengecam tindakan menjadikan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang, dengan menyatakan bahawa Yayasan Bantuan Gaza yang disokong Israel dan Amerika Syarikat telah menggunakan bantuan itu untuk mengusir, menghina dan menahan orang awam.
Para pakar juga memetik angka membimbangkan, dengan kadar malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak meningkat lebih 80 peratus setakat Mac 2025.