the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
25.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pandelela jelas isu ‘entiti’ , dakwa media salah tafsir

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong hari ini menjelaskan isu ‘entiti’ dengan menyatakan bahawa kata-katanya itu telah disalah tafsir oleh media sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham.

“Isu-isu ini berkaitan dengan latihan. Walau bagaimanapun, ia telah diterjemahkan kepada istilah seperti ‘entiti’ dan ‘pihak ketiga,‘ yang sangat mengelirukan orang ramai.

“Saya tidak mempunyai sebarang platform lain untuk menjelaskan perkara ini kepada orang ramai. Oleh itu telah memutuskan untuk membuat kenyataan ini bagi menjelaskan keadaan. Saya harap perkara ini akhirnya dapat dihentikan,“ katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Prestasi hambar skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu, menyaksikan penerjun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos.

Walaupun menyebut terdapat isu apabila ditanya media sejurus tibanya dari Doha, Pandelela berusia 30 tahun itu berkata beliau tidak boleh menghuraikan perkara ini tanpa terlebih dahulu berjumpa dengan pihak berkaitan untuk menjalankan pascanilai (post-mortem).

Kelmarin, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata mereka akan memulakan siasatan berhubung dakwaan Pandelela yang mendakwa wujud kemelut dalaman sehingga menyebabkan skuad terjun beraksi hambar di Doha.

Bagaimanapun, Low, yang sebelum ini bertemu Pandelela pada hari yang sama, enggan mendedahkan sebarang butiran sehingga siasatan selesai kerana ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat pemulihan sebelum dibawah ke mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Di Doha, Malaysia menghantar 13 penerjun termasuk Pandelela, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris.

Bagaimanapun, tiada seorang pun penerjun negara melayakkan diri ke Paris menerusi kejohanan berkenaan.

Penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises menjadi penerjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings