MELAKA: Kerja-kerja menaik taraf Pangkalan Nelayan Sungai Lereh di sini dengan kemudahan pelantar dan win sedang dilaksanakan bagi kemudahan serta keselesaan nelayan di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata projek penambahbaikan berjumlah RM115,000 itu dilaksanakan menerusi peruntukan disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan diselia oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Projek ini bermula pada 21 Jun lepas dan dijangka siap pada 27 Sept depan serta kemudahan ini akan memberi manfaat kepada 77 nelayan di kawasan Sungai Lereh.

“Menerusi kemudahan ini, bot nelayan dapat dinaikkan ke darat atau tebing sungai ini terutama jika bot mereka mengalami kerosakan dan perlu dibaiki,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak projek itu yang turut disertai Pengarah LKIM Melaka Darleena Baharudin.

Mengulas lanjut Lim berkata kemudahan berkenaan diharap dapat memudahkan aktiviti penangkapan ikan dalam kalangan komuniti nelayan di Sungai Lereh sekali gus membantu mereka meningkatkan jumlah tangkapan ikan di kawasan itu.

Beliau berkata selain projek berkenaan, beberapa inisiatif bakal dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan dan keselesaan nelayan di sekitar Klebang dan Lereh, antaranya kerja-kerja mendalamkan muara sungai di kedua-dua kawasan itu.

“Mendapan pasir yang berlaku di muara Sungai Klebang dan Lereh menimbulkan kesukaran kepada nelayan terutama apabila air surut, bot mereka sukar untuk masuk ke pangkalan.

“Saya difahamkan peruntukan untuk mendalamkan muara Sungai Klebang telah diluluskan dan projek berkenaan akan dilaksanakan pada akhir tahun ini, manakala bagi muara Sungai Lereh pula, ia dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan,“ katanya.

Selain itu, pemantauan secara berkala juga akan turut dilaksanakan di sekitar perairan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang bagi mengekang pencemaran sungai, sekali gus menjejaskan ekosistem kawasan terlibat dan menyebabkan hasil tangkapan ikan turut berkurang, tambah beliau.

Lim berkata pencemaran sungai di kawasan itu dipercayai akibat aktiviti di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang turut memberi kesan kepada kesihatan nelayan kerana mereka mudah mendapat penyakit kulit ekoran kualiti air terjejas.

“Walaupun pada tahun ini pencemaran sungai di kawasan perairan Klebang ini agak berkurangan berbanding tahun sebelum ini, namun pemantauan dan penguatkuasaan oleh nelayan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan dipertingkat bagi membendung ia berlaku,“ katanya.