SIBU: Sepasang suami isteri warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia secara haram.
Hakim Musyiri Peet turut memerintah Heriadi, 39, dan Keti, 36, dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik sahaja mereka selesai menjalani hukuman.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Teku-Pasai Siong dekat sini pada 9.50 malam 23 Jun lepas mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya serta boleh dikenakan enam sebatan.
Mengikut fakta kes, pasangan itu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang warga Indonesia di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang dan siasatan mendapati kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah manakala semakan dengan Jabatan Imigresen turut mengesahkan tiada rekod keluar masuk atas nama mereka.
Heriadi turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret pada 8 Julai lepas iaitu membunuh rakan senegara dikenali sebagai Andi di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang pada kira-kira 7 malam 22 Jun lepas.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan sebutan semula ditetapkan pada 29 Ogos ini- BERNAMA