• 2025-07-18 08:58 PM

KOTA BHARU: Pasar Siti Khadijah bakal menampilkan wajah baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan kerja-kerja naik taraf dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Projek bernilai RM7 juta ini bertujuan meningkatkan keselesaan pengunjung dan peniaga, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Kelantan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja pembaikan meliputi kemudahan tandas mesra pelancong, pendawaian elektrik baharu, serta penambahbaikan struktur dalaman pasar.

“Projek ini hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan khas Perdana Menteri sebanyak RM5.5 juta dan tambahan RM1.5 juta daripada KPKT,“ jelasnya selepas lawatan ke pasar tersebut.

Selain Pasar Siti Khadijah, KPKT turut melaksanakan projek MyKiosk di Kota Bharu, yang kini menempatkan 17 peniaga tempatan.

“Ada peniaga burger di sini berjaya meraih pendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Sewa dikenakan hanya RM150 sebulan dengan tempoh percuma enam bulan bagi peniaga baharu,“ kata Nga.

Projek MyKiosk turut menggunakan tenaga solar bagi menjimatkan kos operasi, selaras dengan usaha kerajaan ke arah pembangunan mampan.

KPKT juga telah membantu lebih 7,000 keluarga termasuk golongan B40 dan peniaga tidak berlesen untuk berniaga secara sah. - Bernama