SHAH ALAM: Pasaran kurier Malaysia dijangka mencapai sekitar RM6.8 hingga RM6.9 bilion tahun ini menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pertumbuhan tersebut antara lainnya didorong lonjakan permintaan daripada sektor e-dagang seperti pembukaan fasiliti SPX Express Sorting Centre.
Berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, jelas menunjukkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini peningkatan jumlah bungkusan dengan mendadak.
Ini membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem e-dagang dan juga prasarana serta infrastruktur digital dengan kelajuan Internet yang telah mencapai 5G dan kini 5G Advanced.
Fahmi berkata pembukaan Bukit Raja Selatan Sorting Centre menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan, digital dan pembangunan kecerdasan buatan.
Selain peluang kerja untuk penyusunan bungkusan, dalam pasukan juga perlu ada jurutera bagi memastikan semua kelengkapan perkakasan dan peralatan dapat berfungsi dengan baik.
Pada masa sama, Fahmi berharap SPX Express dapat mewujudkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bagi meningkatkan kemahiran pekerja mereka.
Dengan perubahan teknologi, wujud peluang untuk kita meningkatkan kemahiran dan saya harap di SPX Express wujud satu program TVET yang memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran.
Selain itu, beliau menyarankan industri kurier menjalin kerjasama lebih erat dengan institusi pengajian tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan yang berkaitan dengan keperluan industri.
Bukit Raja Selatan Sorting Centre SPX yang berkeluasan lebih 30,000 meter persegi merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM63.2 juta syarikat itu dalam Automated Sorting Machine canggih bagi meningkatkan kecekapan operasi. – Bernama