SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) membabitkan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai persediaan menangani bencana.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata komuniti terlibat akan didedahkan asas kemahiran keselamatan bagi memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi bencana.

“Setakat ini anggota pasukan daripada 51 kampung diberikan latihan asas menyelamat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Melalui pasukan ini, kita berharap bukan saja dapat membantu menyelamatkan mangsa malah harta benda penduduk terlibat,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam JPKK Peringkat Negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan (APNS) menerima sambutan baik daripada rakyat.

Beliau berkata antara manfaat diterima ialah caruman bantuan RM100 bagi kelahiran baharu, bantuan perkahwinan pertama belia (RM500) dan sumbangan keceriaan warga emas (RM200).

“Sehingga hujung bulan lepas, penerima sumbangan keceriaan warga emas mencecah seramai 31,673 individu dengan peruntukan RM6.3 juta,“ katanya