TENOM: Seorang wanita di Mahkamah Majistret di sini hari ini menafikan dia menaruh hati atau mempunyai hubungan suka sama suka (consensual) dengan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.
Wanita berusia 40an itu yang juga saksi kesembilan pendakwaan dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah itu berkata sekiranya perkara itu benar, dia akan mengikut kehendak Lew yang mahu melihat anggota tubuh badannya semasa panggilan video antara mereka.
Saksi yang juga pengadu kes itu ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Lew berkata, dia menolak permintaan Lew dan dia telah merakam panggilan video tersebut.
Di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, saksi itu berkata pada mulanya dia tidak berniat merakam video tersebut tetapi dia tidak menyesal melakukannya kerana video berkenaan berguna untuk dirinya sebagai bahan bukti bagi mendapatkan keadilan berhubung gangguan seksual Lew terhadapnya.
Ram Singh: Kenapa kami melakukan itu (merakam panggilan video) memandangkan berdasarkan bukti kamu merekod tanpa persetujuan atau pengetahuan Ebit Lew?
Saksi: Saya tidak tahu masa tu memang gerak hati saya untuk rakam dan itu adalah kali pertama saya buat rakaman. Kalau tanya hari ini, bagi saya ada hikmah saya rakam (video itu).
Sementara itu saksi pendakwaan ke-10, Jurufoto Polis Diraja Malaysia (PDRM) Detektif Koperal Shahrul Sanudin, 38, memberitahu bahawa dia telah mengambil sebanyak 35 keping gambar di sebuah rumah di Shah Alam pada 19 Ogos 2021 dan dua keping gambar telefon bimbit.
Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin, saksi itu berkata gambar-gambar itu antaranya termasuk gambar hadapan luar rumah, nombor rumah, bil elektrik, ruang tamu, gambar kepala katil, bantal, bilik air dan gambar bahagian hadapan serta belakang telefon bimbit.
Saksi ke-11, Jurufoto PDRM Detektif Koperal Husni Haris Ramli@Fauzi, 34, pula memberitahu dia turut mengambil empat keping gambar bahagian depan dan belakang telefon bimbit bersama kad sim dan memori kad.
Husni Haris berkata dia telah memindahkan gambar-gambar berkenaan ke dalam dua keping cakera padat (CD) dengan tandaan berkaitan laporan kes di Tenom.
Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan disambung esok.