KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mencadangkan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Utama (CEAC) yang dilihat seiringan dengan tumpuan utama negara pada masa ini, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata penubuhan CEAC dilihat penting memandangkan negara sedang beralih kepada sumber pertumbuhan dan penghasilan baharu seperti nadir bumi, ekonomi digital, inovasi dan pelaburan hijau selain pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi.

“Melalui CEAC, kerajaan boleh mempertimbang regim percukaian progresif bagi meningkatkan lagi pendapatan negara,“ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO kekal komited dalam usaha memperkasa ekonomi Bumiputera dan meneruskan peranan mengangkat agenda ekonomi golongan itu, termasuk menerusi kejayaan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Februari lepas.

Susulan itu juga, kata beliau, UMNO akan terus memantau semua resolusi dan beberapa pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu penutupan KEB.

Ini termasuk dana Pembiayaan Kredit Mikro Bumiputera berjumlah RM1 bilion; geran permula Waqaf MARA MADANI sebanyak RM100 juta; memperuntukkan tanah seluas 50 ekar (20.23 hektar) di Bandar Malaysia sebagai tanah rizab Melayu serta pembangunan komersial tanah berkenaan.

“UMNO mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (di atas komitmen melaksanakan KEB),“ katanya.

Sejajar dengan kepentingan KEB, Ahmad Zahid menekankan bahawa tugas UMNO kini adalah untuk memastikan setiap resolusi dan inisiatif dilaksanakan dengan teliti serta mencapai keberhasilan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan Bumiputera yang memerlukan.

“Justeru, kita akan cadangkan agar kajian dan pelaporan tahunan dibuat untuk menilai keberkesanan serta manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran,“ katanya.

Selain pelaksanaan KEB, beliau turut menyentuh kepentingan kemasukan pelabur asing yang dapat membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha Bumiputera menikmati limpahan aktiviti ekonomi.

Malah, Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Negara, turut melihat potensi industri halal yang disifatkan beliau sebagai amat besar.

“Pada 2023 sahaja, sumbangan industri halal kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dicatatkan pada kadar 7.9 peratus dengan jumlah eksport produk halal adalah sebanyak RM53.72 bilion.

“Pasaran dan peluang yang besar ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha Melayu,” katanya.