• 2025-07-21 09:36 AM

GENEVA: Paus Leo pada Ahad menyeru agar “keganasan dihentikan serta-merta” susulan serangan Israel ke atas Gereja Katolik Holy Family di Bandaraya Gaza yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan beberapa yang lain, termasuk seorang paderi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Serangan itu berlaku pada pagi Khamis di satu-satunya gereja Katolik di Gaza, di mana kira-kira 600 orang sedang berlindung.

Paus Leo mengenal pasti mangsa sebagai Saad Issa Kostandi Salameh, Foumia Issa Latif Ayyad dan Najwa Ibrahim Latif Abu Daoud dan berkata beliau “amat dekat” dengan mereka dan keluarga masing-masing, menurut Vatican News.

Ditemui selepas majlis doa Angelus di Castel Gandolfo pada Ahad, Paus Leo berkata serangan itu “hanyalah satu daripada siri serangan ketenteraan berterusan terhadap penduduk awam dan tempat ibadat di Gaza.”

Beliau menyeru penyelesaian damai terhadap konflik itu dan menggesa masyarakat antarabangsa menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya “kewajipan melindungi orang awam, serta larangan hukuman kolektif, penggunaan kekerasan secara melulu dan pemindahan penduduk Palestin.” -BERNAMA-ANADOLU