KUALA LUMPUR: Syarikat PBH Asset Management Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan penyenggaraan Jalan Persekutuan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak bagi tempoh tiga tahun melibatkan nilai RM69,248,876.40.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan Surat Setuju Terima (SST) bagi penyenggaraan LPB, telah diserahkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

“Pada majlis yang sama JKR (Jabatan Kerja Raya) Sarawak telah dilantik sebagai wakil kerajaan bagi pengurusan kerja-kerja penyenggaraan lebuh raya itu.

“JKR Sarawak merupakan rakan strategik KKR dan bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia dalam perkara-perkara berkaitan dengan operasi, penyenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja, bagi memastikan pematuhan terma-terma dan syarat-syarat oleh syarikat,” menurut kenyataan itu.

KKR turut memaklumkan bahawa pembinaan LPB itu bermula sejak tahun 2015 keseluruhannya mengandungi 11 pakej dan lebuh raya yang terlibat itu sepanjang 829.40 kilometer dan pakej pertama siap pada tahun 2019 iaitu Pakej WPC01 dari Telok Melano ke Semantan.

“Beberapa pakej yang telah tamat tempoh liabiliti kecacatan ini, akan diserahkan kepada PBH Asset Management Sdn Bhd secara berperingkat bagi menjalankan kerja-kerja penyenggaraan jalan, yang terdiri daripada kerja rutin (sepanjang tahun), kerja berkala pavemen, kerja berkala bukan pavemen dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan KKR.

Kementerian itu turut memaklumkan, penyenggaraan jalan dan fasiliti awam sangat diutamakan bagi memastikan infra rakyat terutama jalan sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan selesa serta tidak membahayakan pengguna jalan raya.

“JKR Sarawak akan pastikan Syarikat PBH Asset Management Sdn Bhd mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak untuk memastikan LPB disenggara dengan baik dan berkualiti yang menepati spesifikasi, masa dan kos yang ditetapkan serta memenuhi ekspektasi kementerian dan rakyat,“ katanya.

KKR berkata LPB merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan selaras dengan Program MYJalan yang ingin menyediakan infrastruktur selamat dan selesa kepada semua rakyat.