PETALING JAYA: Kerajaan memerlukan undang-undang khusus untuk menghantar mesej yang jelas bahawa buli siber bukan sahaja tidak boleh diterima, pelakunya akan dikenakan tindakan undang-undang yang keras.

Menurut Ketua Wanita Muda Nasional Parti Bangsa Malaysia (PBM) Muniraa Abu Bakar, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia untuk buli siber dalam kalangan belia pada 2020.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima 6,598 aduan awam berkaitan gangguan dalam talian dari 2020 hingga Julai 2021.

“Statistik ini amat mengejutkan. Kami percaya banyak lagi kes buli siber di Malaysia tidak dilaporkan.

“Selain kehilangan nyawa, ramai belia terpaksa menanggung trauma psikologi dan emosi akibat kelakuan dalam talian yang melulu dan tidak bertanggungjawab,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muniraa berkata undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan tidak mencukupi untuk menangani masalah ini.

Beliau berkata demikian berikutan satu kes bunuh diri melibatkan seorang TikToker dari Subang Jaya baru-baru ini yang dipercayai telah menjadi mangsa buli siber.

“Kerajaan Malaysia boleh merujuk kepada daripada Akta Perlindungan dari Gangguan Singapura (Protection from Harassment Act, POHA). Digubal pada 2014, aktiviti seperti buli siber, menghendap (stalking) dan gangguan dalam talian di dalam dan di luar tempat kerja, telah diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah.

“Sebagai contoh, di bawah Akta ini, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga S$5,000 dan/atau hukuman penjara sehingga 6 bulan. Penalti maksimum ini digandakan untuk pesalah berulang,“ tambahnya.

Tambah Muriaa, kerajaan juga harus menyediakan platform yang untuk mangsa buli siber untuk mendapatkan bantuan. Ini termasuk talian hotline buli siber nasional 24 jam yang dikendalikan oleh profesional terlatih.

“Mangsa juga patut mempunyai akses mudah kepada kaunselor untuk sesi bersemuka serta diajar etika dalam talian dan cara respons apabila berdepan dengan pembuli dalam talian.

“Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan masalah buli siber di negara ini danmenjadikan belia Malaysia membesar dalam persekitaran yang lebih kondusif demi masa hadapan mereka.”