BATU KAWAN: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempamerkan bahan bukti dan senjata api berkaitan keganasan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan di Stadium Batu Kawan. Pameran ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman keganasan dan ekstremisme.
Menurut ACP Ridzuan Abdul Aziz dari Cawangan Khas Bukit Aman, pameran ini memberi pendedahan langsung kepada masyarakat mengenai bahaya penglibatan dalam kegiatan keganasan. “Kami mahu masyarakat lebih memahami modus operandi kumpulan pengganas agar tidak terjerumus dalam aktiviti berbahaya,“ katanya.
Antara tarikan utama pameran ialah paparan senjata api dan bom buatan sendiri yang pernah digunakan kumpulan pengganas. Turut dipamerkan ialah dokumen berkaitan seperti pasport pengganas serta visual operasi tangkapan berprofil tinggi.
Ridzuan menekankan bahawa golongan muda paling berisiko terpengaruh dengan dakyah radikal melalui media sosial. “Rekrut kumpulan pengganas kini aktif di platform seperti Telegram. Pameran ini adalah langkah pencegahan melalui pendidikan,“ jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa pendidikan awam. “Kita mahu orang ramai sedar ancaman ini nyata, bukan sekadar retorik,“ ujarnya.
SMP Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung sehingga 20 Julai dengan lebih 35 aktiviti menarik untuk pengunjung. - Bernama