the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 1, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PDRM rekod RM7.9 juta kerugian jenayah komersial sehari

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan nilai purata kerugian jenayah komersial mencecah kira-kira RM7.9 juta dalam tempoh sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah tersebut diperoleh berdasarkan rekod dari Januari hingga 15 Dis lepas, yang mencatatkan 30,724 kes dengan jumlah keseluruhan kerugian RM2,774,320,430.

“Jumlah kes ini bersamaan dengan purata 88 kes sehari. Secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat 31,588 kes.

“Nilai kerugian bagaimanapun, menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM1,924,424,513,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di sini, semalam.

Ramli berkata sebanyak 45 peratus atau 13,721 kertas siasatan berjaya dituduh setakat ini, yang menunjukkan peratusan pertuduhan lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas, yang mencatat sejumlah 43 peratus atau 13,450 kertas siasatan.

Mengulas lanjut, Ramli berkata penurunan kes jenayah komersial merupakan petanda positif kesedaran masyarakat dan pihaknya akan meningkatkan lagi usaha bagi memastikan pembanterasan serta pencegahan jenayah komersial terus dilaksanakan supaya impak lebih optimum dapat dicapai.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata kes melibatkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mencatat peningkatan dalam tempoh empat tahun iaitu 977 kes (2021), 989 kes (2022), 1,162 kes (2023) dan 981 kes (setakat November tahun ini).

Beliau berkata hasil pelbagai operasi dan serbuan, pihaknya berjaya menahan 4,737 individu yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan ah long dalam tempoh empat tahun iaitu 1,068 orang pada 2021, 1,272 orang (2022), 1,287 orang (2023) dan 1,110 orang (setakat November tahun ini).

Katanya kajian menunjukkan majoriti peminjam mengetahui risiko yang bakal diterima namun memilih untuk terus meminjam atas desakan hidup selain yakin dengan kemampuan diri mereka untuk mematuhi semua syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Ramli berkata mangsa akhirnya terperangkap dengan ancaman ah long serta faedah pinjaman yang tidak berkesudahan sebelum membuat laporan polis.

“Persoalannya, sehingga bilakah isu ah long ini akan berkesudahan? Jika sekalipun pihak polis melancarkan operasi membanteras ah long setiap hari, kegiatan ini tidak akan dapat dibanteras secara keseluruhannya kerana wujudnya permintaan dalam kalangan masyarakat.

“Polis sudah mengingatkan agar tidak meminjam daripada ah long, namun tanpa kesedaran dalam kalangan masyarakat, ia tidak akan ke mana.

“Sekali lagi, saya ingatkan kepada masyarakat, jangan jadi peminjam ah long. Apa jua masalah atau desakan hidup, carilah jalan yang lebih selamat, seperti meminjam daripada institusi kewangan yang sah atau pemberi pinjaman wang berlesen. Jangan sesekali terjebak dalam perangkap ah long,“ katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

#LUXMyWill: Beauty Brand LUX Turns “#BuryMeInThis” From Social Media Trend Into Legal Declaration

SINGAPORE - Media OutReach Newswire - 1 July 2026 - Global beauty brand LUX, in collaboration with VML Singapore, has launched #LUXMyWill — an initiative that transforms one of social media's most talked-about beauty trends into a formal, lasting declaration of personal style.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings