PUTRAJAYA: Satu perjumpaan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pemeriksaan telefon bimbit orang awam oleh polis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, telah diminta untuk memberi penerangan yang jelas dari sudut penguatkuasaan undang-undang.
“PDRM tidak boleh sama sekali menyemak telefon bimbit tanpa sebab yang kukuh. Ia mestilah berdasarkan maklumat risikan dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
“Jika PDRM tidak boleh memeriksa telefon bimbit, bagaimana kita hendak bertindak jika terdapat maklumat mengenai seseorang individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah seperti keganasan?” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan Asia International Security Summit and Expo (AISSE) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan SUHAKAM semalam yang menegaskan polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.
Pada 13 Jan lepas, Razarudin dilapor berkata polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan. Perkara berkenaan termaktub di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi tujuan memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut, atau mengancam seseorang.
Saifuddin Nasution berkata mana-mana orang yang berasa privasi dicabul susulan tindakan berkenaan, boleh membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan.