• 2025-10-14 09:43 PM

KUALA LUMPUR: Pejabat Ahli Parlimen Damansara bersedia membantu keluarga pelajar perempuan yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Gobind Singh Deo yang juga Menteri Digital memaklumkan pejabatnya telah diarahkan untuk segera menghubungi dan memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.

Beliau menegaskan ruang harus diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh kejadian tersebut.

Gobind menyifatkan insiden itu sebagai amat mengejutkan dan menyayat hati seluruh negara.

Beliau menegaskan bahawa tiada tempat untuk keganasan di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pembelajaran.

Menteri Digital itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga remaja perempuan yang kehilangan nyawa dalam kejadian tragik itu.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kawasan sekolah.

Suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan pihak polis. – Bernama